sambutan Hari Guru smjk sam tet 2021

MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU SMJK SAM TET 2021

16 MEI: Hari Guru disambut pada tarikh 16 Mei setiap tahun bagi mengenang jasa dan pengorbanan guru-guru di Malaysia dalam mendidik anak-anak bangsa. Tahun ini ada kelainan dalam menyambut sambutan hari guru kerana masih berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan untuk tahun kedua di mana semua rakyat Malaysia perlu berada di kediaman masing-masing. Namun ini tidak menghalang daripada usaha murni guru-guru Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak murid. Berbagai usaha dan cara dalam memberi ilmu supaya pembelajaran berterusan dapat dilaksanakan sepanjang tempoh PKP ini.

Bagi meraikan dan mengenang jasa guru-guru di SMJK Sam Tet, pasukan pancaragam sekolah SMJK Sam Tet turut tidak ketinggalan untuk mengadakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah secara dalam talian buat pertama kali, bersesuaian dengan situasi semasa yang memerlukan penjarakan sosial dan mengelakkan perhimpunan.

Majlis sambutan pada hari ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Encik Liew Chee Ming, selaku Ketua Guru Penasihat Pasukan Pancaragam Sekolah. Beliau menyambut baik kedatangan semua guru yang hadir ke sambutan hari guru berupa maya buat pertama kali.

Majlis diteruskan dengan ucapan Penolong Kanan Kokurikulum, Pn Fong Meow Kheng turut mengalu-alukan inisiatif pasukan pancaragam untuk menganjurkan sambutan hari guru berperingkat sekolah ini.

Pengetua SMJK Sam Tet, Encik Chan Kok Wai, berkata walaupun cara sambutan Hari Guru pada tahun ini berbeza, matlamat keraian itu tetap sama iaitu bagi menunjukkan penghargaan dan tanda terima kasih kepada insan bergelar pendidik pada peringkat sekolah.

Katanya, menyedari situasi COVID-19 ketika ini dan kepentingan untuk tetap menyambut hari guru, sekolahnya mengambil alternatif menggunakan aplikasi komunikasi secara dalam talian,
Zoom Meeting untuk meraikan hari bermakna itu. Beliau memuji komitmen pancaragam sekolah dalam menganjurkan program tersebut walaupun dalam beberapa hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan.

Antara aktiviti pada hari ini termasuk lafaz ikrar hari guru yang diketuai oleh Pengerusi Kelab Guru & Staf, Encik Kang Chian Hong dan juga nyanyian lagu "Kami Guru Malaysia" secara dalam talian.

Dalam merealisasikan sambutan itu, pihak sekolah dan pasukan pancaragam menyusun pelbagai aktiviti menarik khusus buat guru, pelajar dan ibu bapa bagi memastikan mereka meraikannya secara meriah seperti suasana tahun sebelumnya walaupun melalui pendekatan berbeza.

Dato' Chew Soo Ho, ahli Lembaga Pengelola SMJK Sam Tet.

Encik Desmond Chen, bendahari Lembaga Pengelola SMJK Sam Tet.

Encik Soon Tet On, setiausaha kehormat Sam Tet Old Boys‘ Association (STOBA).

Encik Eric Kong Chun Leong, YDP PIBG SMJK Sam Tet.

YDP PIBG SMJK Sam Tet, Encik Eric Kong juga amat berbesar hati untuk menaja hadiah lumayan bagi cabutan bertuah maya sempena program ini. Antaranya, 15 orang guru dan 15 unit kokurikulum telah memenangi cabutan bertuah tersebut.

Sebelum majlis berakhir, tetamu kehormat kita telah memberi ucapan ringkas kepada para hadirin, terutamanya warga pendidik SMJK Sam Tet yang diraikan, antaranya, Dato' Chew Soo Ho, Encik Desmond Chen, Encik Soon Tet On dan Encik Eric Kong Chun Leong.

Program ini mendapat sambutan sebanyak 500 peserta dalam Zoom Meeting dan ditayangkan secara LIVE di laman sosial Facebook SMJK Sam Tet juga, yang kini telah mendapat tontonan sebanyak 3,400 kali.

Pautan Facebook:
https://facebook.com/368018589919775/videos/4285743031436683

Majlis sambutan pada hari ini berakhir pada pukul 12.10 tengah hari dengan sempurna.