PERATURAN SEKOLAH

Punca Kuasa Pengurusan Disiplin Sekolah dan Peraturan Sekolah

PUNCA KUASA PENGURUSAN DISIPLIN SEKOLAH

1. Isi kandungan dalam buku peraturan ini adalah berdasarkan Peruntukan Undang-undang mengikut Peraturan-peraturan Pelajaran Disiplin Sekolah 1959 yang diwartakan sebagai LN 61/59, bertarikh 20 Februari 1959, Ordinan Pelajaran 1957.


2. Peruntukan Undang-undang yang berkaitan bagi mengendalikan kes-kes perlanggaran disiplin di sekolah-sekolah telah memperuntukkan melalui Peraturan 4, bahawa pihak berkuasa disiplin di sekolah ialah Pengetua.
"4 Guru Besar sesebuah sekolah adalah bertanggungjawab atas disiplin sekolah dan bagi maksud itu hendaklah mempunyai kuasa ke atas guru-guru dan murid-murid sekolah itu”


3. Kerajaan juga memberi kuasa menggantung dan membuang murid dari sekolah kepada Guru Besar / Pengetua. Peraturan 8, Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 menjelaskan peruntukan tersebut :

"8 pada bila-bila masa sahaja didapati dengan memuaskan hati Guru Besar sesebuah sekolah :

a. Sebagai perlu atau dikehendaki bagi maksud menjaga disiplin atau ketenteraman di mana-mana sekolah yang seseorang murid patut digantung persekolahannya ataupun dibuang sekolah.”


4. Secara tegas juga Peraturan 4 dan 8 berkehendakkan surat-surat tindakan tatatertib gantung atau buang sekolah ditandatangani sendiri oleh Guru Besar / Pengetua.

PERATURAN-PERATURAN SEKOLAH

(A) WAKTU PERSEKOLAHAN

1. Semua pelajar mesti tiba di sekolah :

Sesi pagi – pada atau sebelum 7.10 pagi.

Sesi petang – pada atau sebelum 12.50 petang.

2. Semua pelajar mesti berbaris mengikut kelas masing-masing di dewan sekolah atau di gelanggang bola keranjang sebelum diarahkan pergi ke kelas.

3. Semua pelajar tidak dibenarkan meninggalkan bilik darjahnya pada waktu pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) kecuali mendapat surat kebenaran / pas daripada guru-guru yang berkenaan.

4. Pelajar-pelajar yang ingin keluar dari kelas pada waktu PdPc mesti membawa “Pas Keluar” atau “Pas Kebenaran Guru” .

5. Ahli-ahli jawatankuasa persatuan dikehendaki meminta surat kebenaran daripada guru penasihat persatuan jika mereka hendak menjalankan aktiviti-aktiviti persatuan pada waktu sekolah. Surat ini hendaklah disahkan oleh Penolong Kanan Ko-kurikulum / Penolong Kanan Petang sebelum pergi ke aktiviti tersebut. Salinan surat kebenaran hendaklah diserahkan kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid untuk mengesan keberadaan murid.

6. Pada masa rehat, semua pelajar mesti meninggalkan kelasnya dalam masa lima minit selepas loceng berbunyi.

7. Pelajar-pelajar mesti menurut arahan ketua kelas dan beredar dengan senyap serta teratur apabila pergi ke makmal, pusat sumber, bengkel RBT, bilik komputer dan pendidikan jasmani.

8. Semua pelajar tidak dibenarkan pergi ke kedai buku sekolah pada waktu PdPc kecuali ketua kelas yang mendapat kebenaran guru.

9. Semua pelajar dilarang meninggalkan kawasan sekolah pada waktu PdPc tanpa kebenaran daripada Pengetua atau Penolong Kanan. Pelajar yang melanggar peraturan ini dianggap ponteng sekolah.

10. Permohonan untuk keluar dari kawasan sekolah hanya boleh dibuat dengan syarat-syarat berikut :

a) Pelajar yang ingin keluar dari kawasan sekolah kerana hal persatuan atau sekolah mesti mendapat surat kebenaran daripada guru penasihat berkenaan dan disahkan oleh Pengetua atau Penolong Kanan /serta mendapat kebenaran ibu bapa.

b) Pelajar yang sakit semasa di sekolah dan ingin balik rumah atau jumpa doktor mesti mendapat kebenaran daripada pihak sekolah. Pelajar itu mesti mendapatkan rawatan doktor dan menunjukkan sijil cuti sakit daripada doktor pada hari yang berikutnya. Pelajar hendaklah menghubungi ibu bapa / penjaga untuk datang membawa mereka pulang.

c) Pelajar yang ingin balik awal kerana hal keluarga mesti menyediakan sepucuk surat daripada ibu bapa dan menyerahkannya kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) / Penolong Kanan Petang sebelum dibenarkan balik awal.

(B) PERHIMPUNAN (BIASA)

1. Pada setiap perhimpunan, semua pelajar mesti berbaris di dalam dewan dengan teratur, iaitu 10 minit sebelum waktu persekolahan bermula.

2. Pelajar-pelajar mesti berbaris mengikut kelas masing-masing di tempat yang disediakan.

3. Pelajar-pelajar mesti memakai pakaian seragam yang lengkap dan selalu senyap semasa perhimpunan dijalankan.

4. Semasa perhimpunan dijalankan, pelajar tidak dibenarkan meninggalkan dewan walaupun dengan apa-apa alasan kecuali dalam keadaan kecemasan.

5. Selepas perhimpunan, semua pelajar mesti meninggalkan dewan dengan teratur.

6. Semua pelajar mestilah senyap dan berjalan satu demi satu sepanjang perjalanan balik ke kelas masing-masing.

7. Semua pelajar dilarang makan / minum di dalam dewan semasa perhimpunan diadakan.

8. Pelajar-pelajar dikehendaki menumpukan perhatian kepada segala pengumuman yang dibuat. Pelajar-pelajar dilarang membaca semasa perhimpunan dijalankan.

(C) PERHIMPUNAN RASMI PADA HARI ISNIN

1. Semua pelajar mesti masuk ke dalam dewan :

Sesi pagi – pukul 7.10 pagi dan berbaris dengan teratur sebelum pukul 7.15 pagi

Sesi petang – pukul 12.45 petang dan berbaris dengan teratur sebelum pukul 1.05 petang

2. Pelajar-pelajar tidak dibenarkan membeli makanan atau minuman di kantin selepas perhimpunan dimulakan.

3. Pelajar-pelajar yang kurang sihat dan ingin dikecualikan daripada perhimpunan mestilah mendapatkan kebenaran daripada guru disiplin / guru bertugas / PK Hem / PK Petang.

4. Pelajar-pelajar juga diperlukan mematuhi peraturan-peraturan yang tercatat di bahagian (B) di atas.

5. Pelajar-pelajar diwajibkan memakai tali leher sekolah sepanjang hari Isnin.

(D) PAKAIAN SERAGAM PELAJAR

a) CORAK RAMBUT

1. Panjang rambut di depan dahi tidak boleh melebihi bahagian kening.

2. Panjang rambut di bahagian belakang kepala mestilah sekurang-kurangnya 3cm di atas kolar kemeja putih.

3. Rambut tidak boleh menutupi bahagian telinga.

4. Pelajar lelaki tidak boleh menyimpan rambut panjang.

5. Rambut tidak boleh diwarnakan dan berfesyen.

6. Rambut tidak boleh dikerintingkan.

7. Pelajar perempuan yang berambut panjang harus mengikatkannya dengan kemas dan teratur. Hanya gelang getah dan reben berwarna putih, hitam atau biru boleh digunakan. Reben tidak boleh bercorak-corak.


b) KEMEJA PUTIH

1. Panjang lengan kemeja tidak boleh melebihi siku tangan.

2. Bahagian belakang kemeja tidak boleh ada lipatan.

3. Kemeja yang dipakai tidak boleh ada corak khas atau berfesyen.

4. Hanya satu kocek sahaja yang dibenarkan, iaitu di sebelah kiri kemeja.

5. Pelajar mesti mengancingkan bajunya pada setiap masa. (Bahagian kolar dikecualikan.)

6. Kemeja mesti dimasukkan ke dalam seluar pada setiap masa.

7. Kemeja tidak boleh terlalu longgar dan tidak boleh diwarnakan.

8. Jenis kain untuk kemeja mesti mematuhi arahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

9. Logo dan cap perniagaan tidak boleh jelas kelihatan.

10. Pelajar-pelajar tidak dibenarkan memakai jaket, baju panas dan seumpamanya kecuali mendapat surat kebenaran daripada guru disiplin / Penolong Kanan.

11. Pelajar lelaki hanya dibenarkan memakai singlet putih atau singlet sekolah di dalam kemeja putihnya.


c) SELUAR PENDEK / PANJANG

1. Warna sekolah dihadkan kepada warna hijau kehitam-hitaman.

2. Pelajar tidak dibenarkan memakai seluar terlalu longgar, terlalu pendek, atau terlalu ketat.

3. Seluar tidak dibenarkan bercorak khas.

4. Hanya dua poket sahaja dibenarkan pada bahagian sisi seluar, iaitu satu di sebelah kanan dan satu di sebelah kiri. Poket ini haruslah di bahagian dalam seluar.

5. Poket jenis tegak seperti corak “jeans” tidak dibenarkan. Hanya poket jenis sisi / tepi dibenarkan.

6. Telinga seluar mestilah bercorak segiempat tepat dan lebarnya tidak boleh melebihi 2cm.

7. Seluar yang dipakai tidak boleh dilipatkan di bahagian bawah / kakinya.

8. Seluar mesti dipakai dengan kemas dan tidak boleh dilondehkan.


d) SKIRT (untuk pelajar perempuan sahaja)

1. Skirt yang dipakai mestilah berwarna biru muda.

2. Skirt yang dipakai mestilah panjangnya melebihi lutut.

3. Skirt yang dipakai mestilah berbentuk “A” iaitu labuh di bahagian bawah.


e) TALI PINGGANG

1. Warna tali pinggang mestilah hitam atau coklat. Warna-warna lain tidak dibenarkan.

2. Lebar tali pinggang mestilah tidak melebihi 3.5cm.

3. Kancing tali pinggang tidak boleh terlalu besar dan bercorak-corak.


f) SARUNG KAKI

1. Pelajar mesti memakai sarung kaki berwarna putih atau hitam dengan nama sekolah

2. Pelajar mesti memakai sarung kaki dengan kemas dan tidak kurang daripada 17cm dari tapak kaki.

3. Pelajar dilarang memakai sarung kaki yang terlalu nipis, berjalur dan berlogo.


g) KASUT SEKOLAH

1. Kasut kain kanvas berwarna putih atau berwarna hitam yang bersih sahaja dibenarkan.

2. Logo atau cap perniagaan tidak boleh terlalu jelas kelihatan.

3. Tali kasut tidak boleh bercorak-corak.

4. Tali kasut tidak boleh diikat di tepi dan di belakang kasut.

5. Pelajar tidak dibenarkan memakai selipar ke sekolah kecuali mendapat surat kebenaran daripada guru disiplin / Penolong Kanan.

6. Pelajar dilarang memakai kasut jenis berleher panjang (tidak melebihi 2cm dari tulang pergelangan kaki / “ankle”) atau kasut malas (lazy shoes)

7. Hanya dua jenis kasut. (kasut bertali dan kasut dengan “zap on” dibenarkan).


h) LENCANA SEKOLAH DAN TAG NAMA

1. Pelajar mesti memakai lencana sekolah dan tag nama apabila berpakaian seragam sekolah.

2. Lencana sekolah jenis kain hendaklah dijahit di atas kocek.

3. Tag nama jenis kain hendaklah dijahit di sebelah kanan kemeja sekolah.

4. Pelajar tidak dibenarkan memakai lencana kolar yang bukan dikeluarkan oleh persatuan-persatuan sekolah.


i) KAD PINTAR SEKOLAH

1. Setiap pelajar dibekalkan satu kad pelajar iaitu kad pintar pelajar.

2. Semua pelajar mesti membawa dan memakai kad pintarnya ke sekolah setiap hari persekolahan.

3. Pelajar yang tidak memakai kad pintarnya atau kad sementara, dianggap melanggar peraturan sekolah.

4. Semua pelajar perlu menandakan kehadiran dengan kad pintarnya di atas mesin “clock in” pada setiap hari persekolahan.

5. Pelajar perlu menggunakan kad pintarnya untuk meminjamkan buku di pusat sumber sekolah.

6. Pelajar dilarang meminjamkan kad pintarnya kepada pelajar yang lain.

7. Pelajar dilarang membantu rakannya untuk menandakan kehadiran dengan kad pintar rakan.

8. Pelajar dilarang memadamkan sebarang maklumat di depan atau belakang kad pintarnya.

9. Pelajar yang terlupa membawa kad pintarnya dikehendaki memaklumkan kepada guru EDMS / murid bertugas untuk menandakan kehadirannya. Pelajar tersebut perlu membeli kad sementara dengan pengawas yang bertugas.

10. Pelajar yang kehilangan kad pintar atau kad pintar rosak dikehendaki melaporkan kepada En Tan Ewe Seong (sesi pagi) atau Cik Eng khai Yee (sesi petang) dengan segera supaya dapat menggantikan kad pintar yang baru.


j) LAIN-LAIN

1. Pelajar-pelajar dilarang memakai cincin dan gelang.

2. Pelajar tidak dibenarkan memakai sebarang tali pada pergelangan tangan dan rantai leher. Jika tali atau rantai leher yang dipakai ada kaitan dengan agama, ibu bapa pelajar harus datang ke sekolah dan meminta kebenaran daripada guru yang berkenaan. Jika tidak, segala yang dipakai akan dirampas.

3. Rantai leher yang dipakai mestilah diselindungi oleh kemeja dan tidak jelas kelihatan.

4. Pelajar tidak dibenarkan berkuku panjang dan mewarnakan kuku dengan varnis kuku.

5. Beg sekolah tidak boleh dipinkan dengan sebarang barang hiasan.

6. Pelajar-pelajar dilarang membawa telefon bimbit ke sekolah. Telefon bimbit yang dirampas hanya akan dikembalikan semula (mengikut peraturan- peraturan sekolah yang telah mendapat kelulusan dalam mesyuarat PIBG).

7. Pelajar-pelajar lelaki tidak dibenarkan memakai anting-anting dan subang.

8. Anting-anting yang dipakai oleh pelajar perempuan mestilah bersaiz kecil, berwarna pudar dan tidak boleh berwarna-warni (hanya sepasang dibenarkan).

9. Warna rangka cermin mata pelajar dihadkan kepada warna hitam, perang dan warna logam sahaja dengan bentuk yang tidak keterlaluan.

10. Kaca cermin mata tidak boleh berwarna.

11. Pelajar-pelajar tidak dibenarkan menyimpan “side-burns”.

12. Pelajar-pelajar tidak dibenarkan bermisai dan berjanggut.

13. Pelajar-pelajar tidak boleh bersolek semasa datang ke sekolah.

14. Pelajar-pelajar tidak dibenarkan memakai kanta sentuh (“contact lens”) yang berwarna.


(E) BANGUNAN SEKOLAH

a) BILIK DARJAH

1. Semua pelajar dilarang masuk atau meletakkan beg ke dalam bilik darjah sebelum waktu persekolahan.

2. Setelah balik dari perhimpunan, semua pelajar dikehendaki terus masuk ke dalam bilik darjah.

3. Semua pelajar dikehendaki mematuhi peraturan sekolah dan senyap selalu apabila berada dalam bilik darjah.

4. Setiap pelajar mesti menjaga dan bertanggungjawab atas kebersihan bilik darjah pada setiap masa.

5. Setiap pelajar tidak dibenarkan mengotor / menconteng dinding dan merosakkan harta benda sekolah dalam bilik darjah.

6. Pelajar-pelajar dilarang makan dalam bilik darjah kecuali semasa pendemik Covid.

7. Lampu dan kipas mestilah dipadamkan apabila semua pelajar meninggalkan bilik darjah.

8. Pelajar-pelajar tidak dibenarkan bertukar tempat duduk tanpa kebenaran guru.


b) DEWAN SEKOLAH

1. Pelajar-pelajar dilarang berada di kawasan pentas tanpa kebenaran.

2. Pelajar-pelajar dilarang membawa makanan ke dalam dewan sekolah tanpa kebenaran kecuali semasa pendamik Covid.

3. Pelajar-pelajar dilarang merosak dan bermain dengan sebarang kemudahan infrastruktur dewan sekolah.


c) KANTIN SEKOLAH

1. Segala perkakas kantin mesti diletakkan di tempat yang disediakan selepas digunakan. Pelajar-pelajar dilarang merosakkan perkakas kantin.

2. Pelajar-pelajar tidak dibenarkan membawa bungkusan makanan keluar dari kawasan kantin kecuali semasa pendamik Covid.

3. Pelajar-pelajar dilarang menggunakan meja dan kerusi yang disediakan khas untuk guru-guru.

4. Pelajar-pelajar dilarang menjerit-jerit di dalam kantin.

5. Pelajar-pelajar dilarang meletakkan kaki di atas bangku kantin.

6. Pelajar-pelajar dilarang pergi ke kantin pada waktu PdPc kecuali mendapat kebenaran daripada guru disiplin / Penolong Kanan.

7. Perkakas kantin hanya boleh dibawa ke tempat-tempat yang ditentukan oleh pihak sekolah sahaja.


d) PADANG SEKOLAH

1. Pelajar-pelajar dilarang berjalan merentasi padang sekolah sebelum dan semasa waktu persekolahan (kecuali bagi waktu Pendidikan Jasmani dan Aktiviti Ko-kurikulum).

2. Kenderaan dilarang masuk ke dalam kawasan padang sekolah.


e) KAWASAN SEKOLAH

1. Pelajar-pelajar dikehendaki menjaga kebersihan kawasan sekolah pada setiap masa.

2. Pelajar-pelajar dilarang menunggang basikal atau motosikal ke dalam sekolah sebelum, semasa dan selepas waktu persekolahan atau waktu cuti sekolah.

3. Pelajar-pelajar dilarang memandu kereta ke dalam kawasan sekolah.

4. Pelajar-pelajar dilarang berada dalam bilik persatuan pada waktu PdPc kecuali mendapat surat kebenaran daripada guru penasihat dan penolong Kanan yang berkenaan.

5. Segala benda yang diharamkan oleh pihak sekolah tidak boleh dibawa masuk ke dalam mana-mana kawasan sekolah, melainkan benda itu ada kaitan dengan aktiviti-aktiviti persekolahan.


F) BORANG KAWALAN PONTENG

1. Borang ini disimpan oleh ketua kelas dan diserahkan kepada setiap guru mata pelajaran untuk diisi selepas menyemak kehadiran kelas.

2. Kehadiran hendaklah disemak pada awal dan akhir waktu PdPc dan guru hendaklah menandatangani borang itu pada akhir waktunya.

3. Hanya guru sahaja dibenarkan menandatangani borang ini.

4. Pelajar-pelajar yang tidak ada di kelas pada waktu berkenaan hendaklah dicatat dalam borang ini.

5. Semua ketua kelas hendaklah menyerahkan borang-borang ini kepada Penyelia Disiplin Tingkatan masing-masing pada akhir waktu persekolahan setiap hari.

6. Penyelia Disiplin Tingkatan akan memanggil pelajar-pelajar yang tercatat dalam borang untuk disoal-siasat tentang ketidakhadiran mereka pada waktu- waktu yang berkenaan dan mengambil tindakan yang sewajar terhadap mereka.


G) PENGAWAS SEKOLAH

*1. Semua pelajar mesti menghormati pengawas sekolah.

*2. Semua pelajar mesti menurut perintah dan arahan pengawas sekolah.


H) KENDERAAN-KENDERAAN

1. Semua kenderaan pelajar patut diletakkan di tempat yang ditentukan oleh pihak sekolah.

2. Tuan punya kereta, motosikal dan basikal harus memastikan kenderaannya berkunci sebelum meninggalkan tempat meletak kenderaan itu.

3. Selepas loceng pertama berbunyi, pelajar-pelajar tidak dibenarkan mengambil barang dari kenderaannya sehingga sekolah bersurai.

4. Pelajar-pelajar tidak dibenarkan memasuki tempat letak kereta guru pada bila-bila masa.

5. Pelajar-pelajar yang memandu motosikal atau kereta ke sekolah perlu membuat pendaftaran dengan mengisi borang yang disediakan oleh Penolong Kanan HEM.


I) KELAKUAN PELAJAR

*1. Pelajar-pelajar mesti menghormati dan menuruti arahan guru-guru dan pengawas sekolah.

*2. Pelajar-pelajar dilarang melakukan sebarang serangan terhadap guru-guru, pengawas sekolah dan juga ketua kelas.

*3. Pelajar-pelajar dilarang menyertai sebarang pertubuhan haram.

*4. Pelajar-pelajar dilarang melawan, bergaduh, bercakap kasar dan melakukan perbuatan yang kurang ajar.

*5. Pelajar-pelajar dilarang mencuri, ponteng sekolah / kelas, menipu dan mengugut.

*6. Pelajar-pelajar dilarang merokok, menghisap dadah atau vape, meminum arak dan berjudi di dalam kawasan sekolah.

*7. Pelajar-pelajar dilarang membawa benda yang diharamkan oleh pihak sekolah ke dalam kawasan sekolah.

*8. Pelajar-pelajar hanya dibenarkan bertutur dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.

*9. Pelajar-pelajar mestilah menjaga imej dan nama baik sekolah di dalam dan di luar kawasan sekolah.


J) PELAWAT

1. Semua pelawat (termasuk ibu bapa pelajar) dikehendaki mendapat kebenaran daripada pihak sekolah sebelum dapat berjumpa dengan pelajar-pelajar yang berkenaan.

2. Semua pelawat yang datang ke sekolah perlu berpakaian kemas mengikut peraturan sekolah yang telah ditetapkan (rujuk kepada papan notis di pintu utama sekolah)

3. Pelajar-pelajar yang tidak hadir ke sekolah tetapi datang ke sekolah kemudiannya tanpa pakaian seragam sekolah akan dihalau keluar dari kawasan sekolah.

4. Sesiapa yang membuat kekacauan di dalam kawasan sekolah akan dihalau keluar dari kawasan sekolah tanpa diberi amaran.


K) PERINGATAN

1. Peraturan-peraturan ini diubahsuaikan pada 15.02.2022 dan dikuat-kuasakan mulai 21.03.2022.

2. Setiap pelajar mesti mematuhi segala peraturan ini selagi dia berada di dalam kawasan sekolah ini.

3. Kesalahan-kesalahan yang bertanda * dianggap serius dan bilangan poin demerit baginya akan ditentukan oleh Pengetua / Penolong Kanan / Guru Disiplin.

4. Pelajar-pelajar yang melakukan amalan baik akan diberi poin merit dan bilangan poin merit akan ditentukan oleh Pengetua / Penolong Kanan / Guru Disiplin.

5. Jika pelajar ingin membawa sebarang peralatan komputer atau telefon bimbit untuk kegunaan PdPc, pelajar dikehendaki memohon kebenaran daripada Guru Disiplin / Penolong Kanan dengan mengisi borang kebenaran.

SISTEM MERIT DEMERIT SEKOLAH

1. Semua kesalahan ringan akan dihukum dengan satu (1) poin demerit kecuali yang serius di mana bilangan poin demerit akan ditentukan oleh Pengetua / Penolong Kanan / Penolong Kanan Petang / Guru Disiplin. Selepas poin demerit diberi (yang akan dikenakan setimpal dengan kesalahan), tindakan seperti merotan, amaran, gantung sekolah dan buang sekolah akan diambil.

2. Pelajar-pelajar yang telah mengumpul sepuluh (10) poin demerit, ibu bapa / penjaga akan dimaklumkan oleh penyelia guru disiplin dan pelajar berkenaan akan dirotan sekali.

3. Pelajar-pelajar yang telah mengumpul dua puluh (20) poin demerit, ibu bapa / penjaga akan dipanggil berjumpa dengan Penolong Kanan HEM / Penolong Kanan Petang. Pelajar berkenaan akan dihantar ke sesi kaunseling dan hukuman yang sesuai akan dikenakan selepas sesi kaunseling. Surat amaran pertama akan dikeluarkan kepada pelajar tersebut.

4. Pelajar-pelajar yang telah mengumpul tiga puluh (30) poin demerit, ibu bapa / penjaga akan dipanggil sekali lagi berjumpa dengan Penolong Kanan HEM / Penolong Kanan Petang. Pelajar berkenaan juga akan dihantar ke sesi kaunseling sekali lagi dan hukuman yang sesuai akan dikenakan selepas sesi kaunseling. Surat amaran kedua akan dikeluarkan kepada pelajar tersebut.

5. Pelajar-pelajar yang telah mengumpul empat puluh (40) poin demerit, ibu bapa / penjaga akan dipanggil sekali lagi berjumpa dengan Penolong Kanan HEM / Penolong Kanan Petang. Pelajar berkenaan juga akan dihantar ke sesi kaunseling sekali lagi dan hukuman yang sesuai akan dikenakan selepas sesi kaunseling. Surat amaran muktamad akan dikeluarkan kepada pelajar tersebut.

6. Pelajar-pelajar yang telah mengumpul lima puluh (50) poin demerit akan dirujuk kepada Pengetua untuk tindakan selanjutnya seperti surat gantung sekolah kali pertama (2 minggu dan rayuan dibenarkan).

7. Pelajar-pelajar yang telah mengumpul enam puluh (60) poin demerit akan dirujuk kepada Pengetua untuk tindakan selanjutnya seperti surat gantung sekolah kali kedua (2 minggu dan rayuan tidak dibenarkan) .

8. Pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan serius selepas mengumpul enam puluh (60) poin demerit akan dirujuk kepada Pengetua untuk tindakan selanjutnya seperti buang sekolah akan dilaksanakan.